MELAKA: Pencapaian sekolah integriti (SI) dan Sekolah Henry Gurney (SHG) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 berjaya mencatat gred purata 4.57 iaitu lebih baik daripada gred purata nasional (GPN) 4.86.
Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara, Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian SPM terbaik dalam tempoh lima tahun apabila 27 pelajar mendapat keputusan cemerlang 4A dan ke atas.
“Ini menunjukkan penghuni kita mempunyai daya saing yang baik malah ada yang lebih cemerlang daripada pelajar arus perdana. Seramai 115 orang pelajar menduduki peperiksaan SPM 2021 dengan 87 daripadanya berjaya mendapat minimum 1A.
“Tahniah semua penghuni yang berjaya, masih belum terlambat untuk mencorakkan hala tuju masa depan yang lebih baik. Apa yang telah berlaku jadikan pengajaran dan teruslah berjuang untuk kehidupan masa depan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM SI dan SHG di Telok Mas di sini.
Tambah Ajidin, setiap pesalah juvana di seluruh negara akan dipastikan menerima sekurang-kurangnya sijil kemahiran apabila tamat hukuman kelak.
Beliau berkata, pelajar yang berupaya mengikuti akademik akan terus berada dalam sistem berkenaan. – UTUSAN