KOTA BHARU: Taktik menyorok 128,200 batang rokok putih dan kretek seludup di dalam sebuah premis membaik pulih penapis air di Jalan Hospital di ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila kegiatan itu terbongkar selepas diserbu anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, di sini semalam.
Dalam serbuan jam 12.15 tengah malam itu, anggota Batalion 7 PGA berjaya menahan seorang remaja lelaki warga Thailand berusia 16 tahun bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan ke atas premis berkenaan telah menjumpai 15 bungkus plastik dan satu guni mengandungi rokok pelbagai jenama dipercayai di seludup.
Menurutnya, nilai rampasan rokok tersebut dianggarkan berjumlah RM136,151.
“Hasil saringan air kencing yang dilakuka mendapati suspek negatif dadah.
“Suspek diremaa selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN