PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu masih lagi dalam perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diputuskan dalam tempoh sehari atau dua hari lagi.
“SPR telah meminta maklum balas daripada kementerian. Ada beberapa perkara yang SPR boleh buat dan ada yang mereka susah nak buat.
“Jadi kita akan bagi maklum balas dalam sehari dua ni,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Komanwel dan Luka Global Ke-4 2022 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini, hari ini.
Terdahulu, terdapat laporan bahawa Kementerian Kesihatan sudah mengesyorkan kepada SPR beberapa SOP bagi PRU-15 supaya ia diadakan dalam keadaan Covid-19 safe election.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, dengan situasi Covid-19 negara yang terkawal, kementerian berpandangan beberapa sekatan yang dilakukan semasa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini boleh dilonggarkan.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, kementeriannya akan menambah perkhidmatan penjagaan luka di peringkat komuniti dan rawatan ke rumah dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, langkah tersebut diambil berikutan ramai pesakit terutama pesakit terlantar tidak boleh datang ke hospital atau klinik untuk mendapatkan rawatan.
“Jadi mereka yang terlantar ini memerlukan perkhidmatan di rumah. Lebih banyak tumpuan diberi kepada perkhidmatan kesihatan diperingkat komuniti dan pesakit supaya mereka tak perlu datang ke hospital dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy turut berbangga selepas Malaysia terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Kongres Persatuan Penyembuhan Luka Sedunia 2026 menerusi bidaan yang diadakan di Abu Dhabi, Mac lepas.
“Ini adalah pengiktirafan dan penghormatan besar kepada Malaysia apabila kita (Malaysia) dilihat sebagai antara negara peneraju dalam bidang penjagaan luka,” katanya. – UTUSAN