JOHOR BAHRU: Datuk Seri Siti Nurhaliza menjanjikan persembahan eksklusif selama dua jam yang akan meninggalkan kenangan manis dalam kehidupan peminatnya khususnya di selatan tanah air.
Perkara itu dijanjikan penyanyi nombor satu negara berkenaan menerusi persembahan eksklusif A Night To Remember di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini pada 18 dan 19 November ini.
Katanya, dalam setiap persembahan yang dijayakan, pasti ada kelainan dan keistimewaan tersendiri.
“Persembahan terakhir saya di Persada Johor adalah pada 10 tahun lalu, jadi ini adalah peluang buat saya untuk kembali menghiburkan peminat bukan sahaja di Johor, tetapi Singapura dan Kepulauan Riau, Indonesia.
“Insya-Allah saya akan pastikan setiap persembahan dibuat menampilkan kenangan tersendiri, cuma saya berharap doa peminat untuk memastikan kesihatan semua terjaga. Saya juga sudah mula lakukan latihan dan persiapan,” katanya dalam sidang akhbar sempena persembahan eksklusif itu.
Penyanyi berusia 43 tahun itu berkata, dia bakal mempersembahkan sehingga 20 buah lagu termasuk lagu-lagu yang mempopularkan dirinya selaku penyanyi bukan sahaja di negara ini, tetapi di peringkat antarabangsa.
“Dalam persembahan, saya tidak boleh lari daripada menyanyikan lagu-lagu popular sama ada lagu baharu atau lagu lama, itu juga menjadi permintaan peminat-peminat saya.
“Sekiranya ada permintaan, saya juga tidak menolak untuk menyanyikan lebih daripada jumlah lagu yang telahpun ditetapkan, kerana saya memang sudah ada senarai lagu yang ingin dipersembah,” ujarnya.
Persembahan eksklusif A Night To Remember tersebut turut menampilkan artis jemputan popular lain iaitu Aina Abdul dan Khai Bahar. – UTUSAN