KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon terkenal, Sissy Iman selamat menjalani pembedahan dan kini dalam keadaan stabil serta dibenarkan pulang ke rumah.
Perkembangan tersebut dimaklumkan bapanya, Aliff Mohammad Kamil, 59, hari ini.
“Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan sekarang dia sedang berehat. Semua berlaku dengan cepat,” katanya.
Sissy menerusi Instagramnya sebelum ini memaklumkan, dia berada di hospital dan bakal ditidurkan sebelum menjalani pembedahan.
Kata Aliff lagi, Sissy bagaimanapun, tidak berkongsi tentang sebab pembedahan tersebut dilakukan.
“Tidak tahu nak cakap dan jawab macam mana sebab ramai yang bertanya. Sissy tidak maklumkan apa-apa kepada kami.
“Nak kata pembedahan tidak besar, berjam-jam juga kami tunggu di luar bilik pembedahan. Namun, Alhamdulillah semua sudah selamat,” ujarnya.