BUTTERWORTH: Memalsukan dokumen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengeluarkan kontena yang tidak diikrar dengan mengisytiharkan barang seludup seperti rokok, arak dan mercun sebagai kotak tisu.
Itu modus operandi yang digunakan satu sindiket untuk membawa masuk sejumlah barangan seludup dipercayai dari Vietnam ke negeri ini.
Kegiatan itu bagaimanapun terbongkar susulan serbuan serta pemeriksaan Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara JKDM di sebuah gudang di Seberang Perai Tengah (SPT) pukul 6.30 petang, 4 Oktober lalu.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Hamisan Kalip berkata, semasa serbuan dilakukan, terdapat lima individu sedang memunggah barang dagangan dari sebuah kontena.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pihaknya menjumpai dua buah lori ‘bonded’ yang berisi rokok selain menjumpai sejumlah rokok, minuman keras dan mercun dalam sebuah gudang berhampiran.
“Jumlah keseluruhan rokok tersebut yang bersamaan dengan 13.58 juta batang itu dianggarkan bernilai RM1,086,400 dengan nilai cukai berjumlah RM9,071,440.
“Selain itu, minuman keras yang dirampas iaitu 21,000 tin atau bersamaan 8,361.60 liter dianggarkan bernilai RM41,808 (cukai sebanyak RM195,466.75) manakala tujuh karton atau 280 peket mercun yang turut dirampas dianggarkan bernilai RM1,120 dengan nilai cukai sebanyak RM728,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 atas cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais.
Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau 10 kali ganda amaun duti eksais atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau amaun duti eksais atau RM500,000 yang mana lebih besar.
Pada masa sama katanya, pesalah juga boleh dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kedua-dua pertuduhan tersebut.
“Dalam hal ini, orang ramai digesa terus membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihat untuk tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh dibuat dengan menghubungi talian bebas tol JKDM di nombor 1-800-88-8855 atau datang ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat di semua negeri,” katanya. – UTUSAN