Simbolik tarikh nikah Adam Lee, Sweet Qismina

Simbolik tarikh nikah Adam Lee, Sweet Qismina

Adam Lee dan Sweet Qismina selamat diijabkabulkan di Ampang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hampir empat tahun mengenali hati budi masing-masing, pasangan pelakon, Adam Lee dan Sweet Qismina bersyukur impian untuk disatukan sebagai suami isteri menjadi kenyataan, semalam.

Adam atau nama sebenarnya, Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 27, berkata, dia memilih 24 Oktober untuk meraikan hari bahagianya bersama Sweet Qismina, 25, sebagai mengabadikan tarikh ulang tahun kelahiran isterinya itu.

Tarikh itu juga kata Adam, menjadi simbolik peralihan dirinya untuk menggalas tanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga.

“Ada sebab saya memilih 24 Oktober kerana selain tarikh ulang tahun kelahiran Sweet, ia juga melambangkan permulaan langkah baharu saya dalam kehidupan sebagai suami. Besar tanggungjawab ini, tetapi Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya,” katanya.

Jelas Adam, sepanjang empat tahun menjalin percintaan, dia dan Sweet meletakkan kejujuran sebagai kunci utama yang mengukuhkan hubungan mereka.

“Apa yang penting dalam sesebuah perhubungan adalah kejujuran. Jangan sesekali menipu pasangan,” katanya.

Sementara itu, Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi berkata, mereka mengambil masa empat tahun sebelum membuat keputusan mendirikan rumah tangga kerana terlebih dulu mahu menamatkan pembelajaran.

“Sewaktu mula berkenalan, saya masih belajar dan berada pada tahun akhir pengajian. Emak tidak ada masalah kami berkawan, tetapi meletakkan syarat saya perlu habiskan dulu pelajaran.

“Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh itu, hubungan kami dipermudah. Tidak ada istilah on and off. Sejak tahun pertama kenal, kami sudah hebahkan dalam media sosial dan tidak pernah berahsia.

“Mungkin itu juga menjadi sebab ramai mendoakan hubungan kami kekal ke jenjang pelamin. Alhamdulillah, doa semua dimakbulkan Allah SWT,” katanya.

Pasangan itu selamat bernikah dengan sekali lafaz di sebuah lokasi acara di Ampang, di sini, pukul 10.40 pagi semalam.

Pasangan itu dinikahkan abang pengantin perempuan, Fahed Ashraf Supandi dengan disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan merangkap Imam 1 Masjid Darul Ehsan Taman Tun Abdul Razak, Gombak, Selangor, Mohamad Khairin Hussein.

Pada majlis itu, Sweet menerima mas kahwin RM2,410.97, berserta lima dulang berbalas tujuh. Jumlah wang hantaran pula dirahsiakan. Nilai mas kahwin itu adalah simbolik tarikh kelahiran Sweet.

Sweet dan Adam yang juga pelakon drama Bidadari Salju bertunang pada 24 Oktober tahun lalu sempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-24.

Pasangan mempelai bakal diraikan dalam majlis persandingan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 29 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya