Shukri Yahaya harap tiada lagi isu 'pilih bulu' pelakon

Shukri Yahaya harap tiada lagi isu ‘pilih bulu’ pelakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU kuasa pemilihan pelakon bagi produksi drama di tangan stesen televisyen (TV) bagaikan konflik yang tidak berkesudahan. Pelbagai rungutan diterima, terutama daripada syarikat produksi yang terpaksa berdepan pelbagai kerenah untuk memastikan naskhah bakal diterbitkan diterima stesen TV.

Belum lagi penerbit terpaksa melayan permintaan pelakon dan pengurusan mereka yang meletakkan bayaran mahal dan tidak ‘masuk akal’, semata-mata kerana menjadi pilihan stesen TV.

Penerbit juga terpaksa akur dengan permintaan stesen TV yang berlumba-lumba mengejar pelakon atau pempengaruh media sosial popular, tanpa meneliti terlebih dahulu keupayaan dan mutu lakonan mereka.

Soal bayaran diletakkan sepenuhnya ke atas bahu penerbit yang sudah sedia terbeban dengan peruntukan yang ciput memburukkan lagi situasi. Masihkah ada sinar di sebalik kemelut yang sudah bertahun-tahun berakar ini?

Hangat Seminggu mengetengahkan keluhan dan suara pembikin drama yang berharap stesen TV mempertimbangkan supaya kuasa memilih pelakon diserahkan sepenuhnya kepada penerbit.

Dari sudut pandang pelakon, Shukri Yahaya berpendapat, ia akan menyuntik perkembangan yang sihat kepada industri apabila penerbit diberikan kepercayaan untuk menentukan sendiri barisan utama dalam produksi mereka.

Baginya, pelakon akan berdepan cabaran dan persaingan, seterusnya berusaha menggilap dan menonjolkan kelebihan tanpa perlu runsing memikirkan soal jumlah pengikut di media sosial.

“Perkara ini bagus apabila penerbit dan pengarah berhak menentukan barisan pelakon yang mereka inginkan untuk terlibat dalam naskhah terbitan. Lazimnya, seseorang penerbit atau pengarah sudah tahu kredibiliti pelakon yang mereka inginkan.

“Ia ditentukan daripada pengalaman bekerjasama sebelum ini atau berdasarkan reputasi baik yang ditonjolkan pelakon, selain saranan pihak produksi atau penggiat seni lain.

“Ini lebih adil untuk semua pihak. Diharapkan, tiada ada lagi isu memilih bulu dan mengutamakan jumlah pengikut di media sosial hingga aspek penting lain yang menunjangi sesuatu produksi dipinggirkan,” katanya.

Insan seni berusia 34 tahun itu berkata, pelakon tidak sewajarnya bersikap sambil lewa jika mahu banyak pihak meletakkan kepercayaan kepada hasil kerja mereka.

Katanya, setiap pelakon terutama bakat baru perlu memantapkan lagi kualiti lakonan supaya dilihat benar-benar layak dan bayaran diterima juga setimpal dengan hasil kerja.

“Inilah masa untuk masing-masing memantapkan lagi bakat lakonan yang ada. Kalau dulu, kita bising apabila stesen TV meletakkan barisan pelakon pilihan. Sekarang buktikanlah bakat masing-masing, sama ada layak atau tidak untuk memegang watak tersebut?” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya