PETALING JAYA: Cef selebriti dan penyanyi, Datuk Fazley Yaakob mencipta sejarah apabila berkerjasama dengan IHH Healthcare Malaysia menghasilkan seleksi menu baharu untuk pesakit di hospital.
Jelas Fazley, dia mengambil masa selama setahun membuat kajian sebelum menghasilkan menu baharu yang bersesuaian untuk mereka yang dirawat di hospital.
“Sebagai cef, saya telah berkolaborasi dengan pelbagai jenama yang tidak disangka-sangka. Tetapi, apabila mendapat tawaran berkerjasama dengan jenama hospital yang cukup hebat, impian saya tercapai.
“Saya menjalankan kajian selama setahun untuk memastikan setiap menu yang dihasilkan tepat dan menepati kriteria yang ditetapkan.
“Saya juga mendapat maklum balas daripada pengguna media sosial berhubung menu di hospital yang mereka teringin mahu makan.
“Jadi, saya senaraikan semua makanan yang mereka cadangkan dan pilih 10 untuk menu baharu di hospital. Menu yang saya hasilkan itu mengikut kesesuaian pesakit umum,” katanya.
Dalam pada itu, Fazley berkata, dia mahu memberi pengalaman baharu kepada sesiapa yang berada di hospital menerusi menu yang dihasilkan.
“Setiap satu menu yang saya hasilkan itu sesuai untuk dimakan oleh sesiapa saja. Apa yang penting, pesakit tidak akan rasa makanan itu disediakan khusus untuk orang sakit. Itu yang mustahak.
“Makanan itu juga boleh membuatkan mereka rasa ingin sihat cepat. Saya juga mencipta menu yang sesuai untuk dirakamkan di Instagram supaya mereka teruja setiap kali menerima makanan.
“Disebabkan itu, saya cipta tiga kelompok makanan berbeza untuk setiap jenama hospital iaitu Hospital Pantai, Hospital Gleneagles Hospital dan Hospital Prince Court,” ujarnya lagi.