MELAKA: Terdapat usaha pihak tertentu yang cuba menggugat perpaduan jentera Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ekoran tular di media sosial beberapa versi senarai calon bertanding di enam kerusi Parlimen di Melaka.
Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman menyifatkan ia sengaja diedar untuk menimbulkan pertelagahan dalam kalangan akar umbi hingga boleh menjejaskan persiapan parti.
“Kelmarin keluar senarai calon UMNO bertanding dan semalam pula ada lagi senarai, kali ini siap dengan calon-calon daripada parti lain.
“Itu senarai macam budak tepi jalan yang buat. Ini sebenarnya usaha pihak tidak bertanggungjawab cuba gugat keharmonian BN.
“Saya harap penyokong BN tidak percaya dengan senarai itu. Kita tunggu Rabu ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan buat pengumuman calon-calon bertanding pada PRU-15,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu senarai yang memaparkan nama calon bertanding daripada BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) di enam kerusi Parlimen di Melaka.

Terdahulu, nama Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan disenaraikan bertanding di Parlimen Jasin dan terbaharu nama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pula diletakkan sebagai calon BN di Alor Gajah.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh turut menafikan senarai calon seperti yang ditularkan sejak Rabu lalu.
Beliau berkata, ini kerana belum ada sebarang keputusan rasmi dikeluarkan ibu pejabat dan senarai berkenaan boleh dianggap hanya sebagai spekulasi politik.
“Mungkin betul mungkin tak betul, tetapi saya bagi pihak Badan Perhubungan tidak mengesahkan bahawa itu adalah calon-calon yang diputuskan.
“Belum ada lagi keputusan rasmi daripada pihak ibu pejabat dan saya akan mengikut apa juga keputusan daripada ibu pejabat,” katanya. – UTUSAN