PUTRAJAYA: “Saya nampak nyanyukkah?”
Itu reaksi Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaik sahaja diajukan soalan oleh wartawan berhubung keupayaannya untuk bertanding lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada usia 97 tahun.
Dr. Mahathir berkata, beliau sahkan dirinya masih sihat dan tidak nyanyuk biarpun sudah lanjut usia.
“Saya masih boleh jawab soalan you (wartawan). Ya lah, memang orang umur 97 biasanya nyanyuk.
“Do you see me? (anda lihat saya nyanyuk),” soalnya.
Wartawan kemudian menjawab: “No, you are good, you are strong.”
Jawapan wartawan itu kemudian disambut gelak tawa oleh mereka yang hadir pada sidang akhbar berkenaan termasuk pimpinan GTA.
Sebelum ini, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, beliau masih mahu mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi biarpun dikritik banyak pihak disebabkan usianya yang sudah mencecah 97 tahun.
Menurutnya, umur panjang memberi peluang kepadanya untuk terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. – UTUSAN