Saya muak orang sekadar rakam gambar sebab saya selebriti

Saya muak orang sekadar rakam gambar sebab selebriti – Ahmad Idham

AHMAD IDHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah filem terkenal, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri mengakui sudah muak dengan sikap sesetengah pihak yang sekadar mahu ‘merakam gambar’ bersamanya disebabkan statusnya sebagai selebriti. 

Katanya, keadaan itu tidak mencerminkan tindakan yang sepatutnya diambil selepas beliau berusaha memperjuang dan memperkasa isu pendidikan khas di negara ini sejak dua dekad lalu. 

Atas alasan itu menjelaskan mengapa bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) itu memilih menyertai Gerakan Tanah Air (GTA), dengan harapan dapat memberi perubahan dalam urus tadbir negara khususnya dalam pemerkasaan bidang pendidikan khas. 

“Apabila saya bergerak di bawah NGO untuk perkasakan pendidikan khas selama 20 tahun, saya buat surat kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat, ia sekadar mencurahkan air ke daun keladi. 

“Walaupun orang kenal saya sebab saya selebriti, tapi, mereka sekadar ambil gambar sahaja selepas itu tiada tindakan, jadi saya sudah muak dengan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita semasa sidang media pelancaran Gagasan Bangsa di pejabat Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) di Wisma Melayu di sini hari ini. 

Sidang media itu dilakukan serentak dengan pengumuman pembubaran Parlimen Ke-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini yang membuka jalan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Hadir sama dalam sidang media hari ini Ketua Penerangan GTA, Datuk Nizam Mahshar; Ahli Jawatankuasa GTA, Prof. Datuk Dr. Murad Merican dan wakil-wakil Gabungan Bangsa, Ahmad Zakie Ahmad Shariff dan Aminuddin Yahaya. 

Gagasan Bangsa adalah gabungan yang menghimpunkan badan-badan bukan parti politik bernaung di bawah GTA untuk bertanding pada PRU15 tidak lama lagi.

GTA dilancarkan secara rasmi Ogos lalu dianggotai empat parti komponen utama iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), IMAN, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Berjasa serta mensasarkan 120 kerusi Parlimen pada PRU-15. 

Mingguan Malaysia pada Ogos lalu melaporkan, Ahmad Idham keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali gus melepaskan jawatan Ketua Cawangan Bersatu Pinggiran Ukay, Bahagian Ampang. 

Beliau berkata, alasannya keluar parti kerana banyak masalah dalaman Bersatu selain janji-janji yang tidak dikota sepanjang bersama parti itu. 

Beliau juga mendakwa hanya berperanan sebagai ahli parti biasa dan tidak pun memegang jawatan ketua cawangan seperti dilaporkan sebelum ini.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya