‘Saya mahu berjalan semula’

Saya mahu berjalan semula – Sakila

KEADAAN kaki Sakila Ahmad Shamsuri yang membengkak akibat penyakit kaki gajah yang dihidapinya sejak empat tahun lalu ketika ditemui di Jelapang, Ipoh semalam. - FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada apa diharapkan seorang wanita di sini, Sakila Ahmad Shamsuri, 39, melainkan dapat berjalan semula selepas menghidap penyakit bengkak pada kaki kirinya dikenali pe­nyakit kaki gajah atau lymphatic filariasis sejak empat tahun lalu.

Penyakit itu menyebabkan ka­kinya membengkak dan kini men­capai berat kira-kira 80 hing­ga 85 kilogram dengan ukur lilit 30 sentimeter.

Penyakit itu menyebabkannya tidak dapat bergerak seper­ti orang lain sebaliknya hanya duduk di rumah dan berharap ada pihak sudi membantunya menjalani pembedahan.

Sakila berkata, dia tidak tahu punca penyakit tersebut namun bermula selepas dia mengalami demam dan timbul bintik-bintik kecil yang merah dan panas pada kakinya.

Katanya, pemeriksaan di hospital mengesahkan penyakit itu bukan berpunca daripada gigitan nyamuk.

“Doktor sendiri pun pelik mengapa kaki boleh membengkak sebesar ini dalam tempoh yang singkat, dalam masa empat tahun sahaja kaki boleh mencecah 80 hingga 85 kilogram.

“Menurut doktor, kebanyakan pesakit kaki gajah mengambil masa berbelas tahun untuk membesar hingga mencapai saiz seperti ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di RPT Kampung Jelapang Baru di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum ini dia menjalani rawatan penyakitnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun terhenti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan Covid-19.

Katanya, kini dia menjalani rawatan di Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur.

“Saya akan menjalani pembedahan di PPUM pada bulan ini. Sepatutnya pembedahan saya pada 22 September lalu namun disebabkan tekanan darah saya naik, pembedahan ditangguh dan dijadualkan semula pada 17 Oktober depan se­lepas pemeriksaan jantung,” katanya.

Sakila kini yang dijaga oleh ka­kaknya berharap ada pihak sanggup membantu membuat tandas di rumahnya kerana tandas yang ada bersaiz kecil dan tidak selesa.

“Kalau boleh nak minta buatkan tandas duduk kerana saya memang memerlukannya,” katanya.

Katanya, dia juga mengharapkan ada pihak yang sudi memberi sumbangan untuk dia menjalani pembedahan dan kos membeli lampin pakai buang yang amat diperlukan selepas dia menjalani pembedahan nanti.

“Saya dapat bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan tetapi jumlah itu memang tak cukup untuk menampung keperluan harian saya dan rawatan.

“Saya harap sangat ada pihak yang sudi bantu salurkan sumbangan supaya saya boleh menjalani pembedahan secepat mungkin kerana sudah tidak sanggup lagi menanggung derita dan menyusahkan kakak saya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau sumbangan boleh menyalurkan bantuan di akaun Maybank atas nama Sakila Ahmad Shamsuri iaitu 162058831884 atau menghubunginya di talian 0192490067. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya