SEPANG: Pelakon terkenal, Zul Ariffin yang didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah memuat naik klip video bersifat sumbang, Mac lalu, menggelarkan kesemua pihak yang turut terlibat dengan video berkenaan sebagai ‘malaikat’.
Untuk itu beliau tidak kisah mengambil tanggungjawab mengaku kesalahannya memuat naik klip video tersebut.
“Sebab yang lain yang terlibat semua malaikat, saya seorang sahaja yang tak, jadi, saya mengaku bersalah, tak mengapa.
“Saya (mengaku) sebab tak nak bazir masa semua orang, mahkamah atau sesiapa sahaja, jadi, saya mengaku bersalah sebab ‘post’,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Sepang semalam.
Tambah Zul, sebagai seorang pelakon dan selebriti, sudah pasti setiap tindak-tanduk yang dilakukannya akan mempunyai akibat tersendiri.
“Biasalah, apa sahaja yang kita buat adalah akibatnya tapi itulah daripada saya berdolak-dalik itu ini sekurang-kurangnya saya mengaku salah,” katanya dalam nada sinis.
Ketika ditanya sama ada siri bertajuk ‘Perempuan Itu’ akan ditayangkan di televisyen, Zul meminta supaya perkara tersebut diajukan kepada penulis skrip.
“Tak tahulah, kena tanya penulis skrip yang berkarya, kena tanya yang berkarya jangan tanya saya, saya dah kena denda,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan golongan artis untuk lebih berhati-hati jika diminta memuat naik sebarang klip video bagi tujuan promosi dalam platform media sosial masing-masing.
Menurut aktor berusia 36 tahun itu, apa yang berlaku dan hukuman yang dikenakan terhadapnya harus dijadikan iktibar supaya tidak terkena kepada individu lain.
“Semua orang lakukan kesilapan, sekurang-kurangnya ia menjadi pengajaran kepada orang di luar sana dan pengajaran kepada semua pelakon, kalau disuruh post (muat naik) itu, tak payah lah akur sangat, betul tak?
“Kalau disuruh post, dibakar-bakar untuk tujuan promosi kepada artis di luar sana berhati-hatilah, jadikan (kes) saya sebagai contoh,” katanya.
Terdahulu Hakim Noorhisham Mohd Jaafar menjatuhi hukuman itu terhadap Zul selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian yang memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN