Saya antara senarai calon Parlimen Pasir Gudang - Khaled Nordin

Saya antara senarai calon Parlimen Pasir Gudang – Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin (duduk tengah) bergambar bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Gudang sempena Persidangan UMNO Bahagian itu di Dewan Serbaguna Taman Mawar, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan beliau tersenarai antara lima nama yang diserahkan kepada pucuk pimpinan parti sebagai calon Parlimen Pasir Gudang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Menteri Besar Johor itu bagaimanapun memberitahu, seberang keputusan hanya dimaklumkan setelah keputusan akhir dibuat menjelang tempoh penamaan calon kelak.

Beliau juga tidak menafikan sama ada namanya turut tersenarai untuk bertanding di kerusi Parlimen lain, antaranya Kota Tinggi.

“Parti sedang dalam proses untuk menentukan calon-calon di setiap kerusi Parlimen, ini baru di peringkat permulaan dan belum lagi selesai yang mana setiap bahagian diminta menghantar sekurangnya lima nama.

“Sekarang ini, Bahagian Pasir Gudang kemukakan nama saya, tetapi apapun keputusan akhirnya saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti. Setiap parti ada strategi dalam meletakkan calon, jadi saya serahkan kepada kepimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, di sini hari ini. 

Sementara itu, ketika disoal bahawa keputusan pucuk pimpinan akan turut melibatkan dirinya selaku Top 5 UMNO, beliau hanya tersenyum sambil ketawa tanpa memberikan sebarang jawapan lanjut.

Baru-baru ini, terdapat khabar angin bahawa bekas Ahli Parlimen Pasir Gudang itu bertanding di kerusi Parlimen Kota Tinggi selepas beliau tewas dalam PRU14 lalu kepada calon Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim.

Malahan terdapat beberapa kain rentang yang dinaikkan di sekitar Kota Tinggi yang memaparkan ayat menolak kehadiran Mohamed Khaled untuk bertandang di kerusi Parlimen berkenaan.

Sementara itu, beliau turut membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa UMNO sebagai ‘parti keruh’ sebagai alasan untuk tidak mengadakan kerjasama menjelang PRU15.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, antara sebab Pas menangguhkan kerjasama dengan UMNO adalah disebabkan beberapa faktor seperti terdapat kepimpinan yang terpalit dengan isu rasuah yang  belum selesai.

“Rasuah atau tidak itu biar mahkamah tentukan, terdapat seramai tiga juta ahli UMNO dan bukan semuanya ada kes, malahan soal itu bukan hanya berlaku dalam UMNO tetapi juga parti lain. Kalau dia (Abdul Hadi) kata UMNO parti keruh, jadi mengapa sebelum ini mereka berusaha dan cari UMNO untuk menjalin kerjasama. Jadi ini sebenarnya hanyalah alasan politik.

“Perlu ingat bahawa UMNO tidak pernah tercari-cari Pas, sebaliknya mereka yang cari kita jadi jangan tuduh UMNO parti keruh, itu tidak menunjukkan akhlak yang baik oleh seseorang yang menggunakan nama agama dalam perjuangan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya