Saringan calon PRU15 ketat

Saringan calon PRU15 ketat

PH dan Barisan Nasional (BN) perlu bekerjasama jika mahu menang PRU16.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti-parti politik mengenakan syarat ke­tat pemilihan calon ber­tanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk isu ­poligami di Siam dan memal­sukan kelulusan akademik.

Ia bagi memastikan isu peribadi dan rekod salah laku tidak menjadi ‘bola tanggung’ musuh politik masing-masing sepanjang kempen PRU15 sehingga menjejaskan potensi kemenangan.

Semakan itu bukan sahaja melibatkan integriti dan bebas jenayah tetapi rekod peribadi lampau di samping memastikan perkahwinan mereka sama ada dengan isteri kedua atau seterusnya melalui proses yang sah dan didaftarkan di negara ini.

Malah soal akademik diambil kira dengan memastikan kelulusan calon diketengahkan tidak menerima sijil palsu dan diiktiraf kerajaan supaya tidak menjadi ‘tendangan gol percuma’ oleh musuh-musuh politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tapisan Barisan Nasional (BN) dilakukan secara menyeluruh dan merangkumi segala aspek termasuk membabitkan mengambil kira pendaftaran perkahwinan agar proses itu dilakukan mengikut saluran undang-undang negara ini.

Katanya, proses tapisan calon dilakukan oleh satu panel peguam BN yang meneliti dan menyemak biodata dan kelulusan akademik serta paling penting untuk memastikan mereka layak bertanding sepertimana syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Tapisan ini sudah berlaku sejak sekian lama, nama kita hantar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Insolvensi.

“Cuma kita tidak pernah menguar-uarkan kepada orang ramai. Perkara ini penting bagi mengelakkan masalah berbangkit ketika proses penamaan di samping isu yang boleh menjadi modal pembangkang ketika kempen,” katanya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini berkata, parti itu akan mengetengahkan 70 peratus muka baharu dalam PRU15 dengan calon yang ditampilkan adalah berkaliber, berkelulusan akademik, berakhlak baik dan mempunyai komitmen tinggi untuk membantu rakyat.

Parti-parti lain seperti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) turut mengambil langkah sama dengan menghantar senarai calon untuk tapisan SPRM dan PDRM selepas senarai calon dimuktamadkan.

Malah tapisan juga membabitkan LHDN dan Jabatan Insolvensi.

Dalam pada itu Timbalan Pre­siden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sangat tegas menapis calon kerana bukan sahaja membabitkan soal integriti tetapi mereka yang fasik sekali pun tidak layak diletakkan sebagai bakal wakil rakyat.

Katanya, bukan sahaja latar belakang calon, keluarga mereka pun diteliti agar mampu menjadi contoh kepemimpinan sebagai calon.

“Dalam Pas calon tak sembahyang, tak tunai kewajipan, melakukan dosa besar yang diketahui tidak akan disenaraikan,” katanya.

Menurutnya, semua calon Pas ditapis melalui Majlis Syura Ulama parti selepas diteliti oleh pelbagai peringkat parti.

Justeru, katanya, Pas tidak hantar nama kepada SPRM atau polis untuk tapisan, namun tidak menyekat mana-mana pihak membuat semakan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menjadi amalan PH setiap kali pilihan raya untuk menyemak calon-calon bertanding dengan SPRM, PDRM dan Jabatan Insolvensi demi memastikan bakal ‘Yang Berhormat’ bebas dan bersih daripada salah laku.

Katanya, ia sejajar dengan landasan perjuangan PH untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang telus dan berintegriti.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak terlibat dalam tapisan calon PKR kerana perkara itu dikendalikan oleh Pengarah Pilihan Raya parti, Rafizi Ramli.

“Tetapi dalam soal tapisan calon, PKR amat teliti dalam soal ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya