Salahuddin pertahan Pulai, PH Johor selesai agih kerusi

PRU15: Salahuddin pertahan Pulai, PH Johor selesai agih kerusi

SALAHUDDIN AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub bakal mempertahankan kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, menjadi amalan biasa pihaknya untuk mencalonkan semula individu yang memenangi sesebuah kerusi buat pertama kali dalam PRU berikutnya.

“Kebiasaannya kita kalau pertama kali menang di peringkat Parlimen, biasanya calon kita akan pertahankan kerusi mereka, tetapi keputusan terakhir adalah pada pucuk pimpinan parti itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat ‘Training of Trainers’ Petugas Parti Politik Bagi PRU15 di bangunan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly turut memaklumkan bahawa Pakatan Harapan (PH) Johor telah selesai membuat agihan kerusi dan pengumuman akan diadakan pada 3 November ini.

“Ketika ini, pembahagian kerusi dalam tiga komponen utama PH sudah selesai, termasuk 10 kerusi yang ditinggalkan oleh Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) juga telah selesai diagihkan.

“Proses yang sedang berjalan ketika ini adalah soal pemilihan calon-calon bagi kesemua 26 kerusi dipertandingkan dan perkara ini kita akan umumkan pada 3 November, iaitu dua hari sebelum penamaan calon,” katanya.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sekiranya dipilih untuk bertanding dalam PRU15.

“Saya serah kepada kepimpinan parti atas kebijaksanaan mereka untuk tentukan calon sebab PRU 15 agak kritikal, semua parti ada pengalaman jadi kerajaan jadi ‘winnable candidate’ adalah satu faktor selain daripada parti itu sendiri.

“Perkara ini penting kerana Majlis Presiden PH telah memberikan mandat agar Johor dapat membantu merealisasikan cita-cita menubuhkan kerajaan di Putrajaya. Kita sudah nyatakan komitmen untuk menang seberapa banyak mungkin kerusi Parlimen, khususnya daripada 18 yang dimenangi dalam PRU14 lalu.

“Kita yakin akan dapat mengulangi keputusan baik yang dilakar dalam PRU lalu,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya