KUALA LUMPUR: Penyanyi Ara Johari menepis dakwaan yang mengaitkan sakit tekak yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu dengan perbuatan sihir.
Sebaliknya, kata penyanyi lagu Bunga itu, dia telah merujuk masalah tersebut kepada doktor pakar dan yakin ia hanya sakit tekak biasa.
“Saya tidak rasa sakit tekak ini ada kaitan dengan penyakit misteri kerana di rumah tidak ada pula perkara pelik berlaku.
“Nak percaya tidak boleh, nak menolak pun tidak boleh juga. Ada yang mencadangkan saya membuat rawatan secara perubatan Islam kerana khuatir batuk yang saya alami ini berlaku kerana hasad dengki orang.
“Tetapi, saya tidak rasa begitu. Tekak saya memang sakit,” kata Ara, memaklumkan sakit tekak dialaminya itu berlarutan sejak dia dijangkiti demam panas ketika sambutan Aidilfitri lalu.
Jelas Ara, dia telah merujuk masalah tersebut kepada doktor dan dinasihatkan menjaga kesihatan serta mengikut pantang larang yang telah ditetapkan.
“Sebenarnya, saya sudah puas berehat sejak sebulan lalu. Banyak juga tawaran membuat persembahan yang saya tolak.
“Namun, keadaan tekak saya masih sama, sekejap okey, kemudian masalah itu datang semula.
“Memang risau dengan keadaan ini sebab saya cari rezeki dengan menyanyi. Apa yang boleh saya buat sekarang adalah jaga kesihatan dan ikut nasihat doktor,” jelasnya.