Sabri akui penggambaran Tumpat Berdarah penuh cabaran

Sabri akui penggambaran Tumpat Berdarah penuh cabaran

SABRI YUNUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sutradara tersohor, Sabri Yunus mendedahkan kerja-kerja penggambaran filem televisyen (FTV) berjudul Tumpat Berdarah berdepan pelbagai cabaran termasuk untuk mengangkat seni dikir barat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sabri yang merupakan pengarah Tumpat Berdarah bagaimanapun bersyukur dapat menggunakan khidmat dua anak Kelantan iaitu Issey Fazlisham dan Asrulfaizal Kamaruzaman untuk menjayakan filem berkenaan.

Menurutnya, kedua-dua individu itu bukan sahaja pelakon malah pendidikir sekali gus memudahkan tugas penggambaran Tumpat Berdarah.

“Saya memerlukan pelakon yang pandai berdikir dan kerana itu mereka berdua sangat penting untuk menjayakan karya ini.

“Tetapi, perlu diingat mereka berdua bukan pelakon freelance sebaliknya mempunyai kerja dan majikan masing-masing. Itu antara cabaran utama dalam pembikinan filem ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sabri memberitahu, selain itu beliau turut berdepan cabaran mengarahkan pendikir yang tidak pernah berlakon serta tidak tahu disiplin berlakon dan semua cabaran itu perlu ditangani dengan baik.

Katanya, setiap karya beliau mempunyai cabaran baharu tetapi cabaran paling utama adalah diri sendiri termasuk mencari cara untuk mengetengahkan isu baharu dan sebagainya.

“Cabaran lain adalah untuk meletakkan kesesuaian antara penuturan dan perwatakan. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu corak penuturan seorang tukang karut boleh dituturkan oleh peniaga.

“Seboleh-bolehnya saya mahu tukang karut atau pendikir itu mempunyai gaya bahasa tersendiri walaupun ketika memesan air di kedai kopi,” katanya.

Dalam pada itu Sabri menceritakan, idea asal Tumpat Berdarah tercetus ketika penerbitnya, Datuk Saniboey Mohd. Ismail menonton wayang kulit kampung bersamanya di Tumpat.

Tambahnya, seperti kebiasaan penerbit itu akan menyampaikan gugusan idea kepada Sabri dan terpulanglah kepada sutradara itu untuk menggarap, mengembangkan dan mencantikkan cerita tersebut.

“Saya sudah lama mengenali beliau (Saniboey) iaitu sejak beliau masih bertugas sebagai wartawan di akhbar. Bagaimanapun kerjasama saya dan beliau dalam drama bermula di Astro dengan karya pertama ialah Sorok Bau Budu’.

“Daripada situ kerjasama ini berterusan sehinggalah Tumpat Berdarah. Bagi saya beliau mempunyai banyak idea menarik dan mampu memberi impak besar kepada industri filem dan drama tempatan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN