KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini memperkenalkan produk minyak masak tempatan berjenama ‘Sayang’ yang akan memasuki pasaran dalam tempoh terdekat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengeluaran minyak masak jenama tempatan itu dilihat akan membantu mengatasi masalah kekurangan bekalan minyak masak di negeri ini, terutama minyak masak bersubsidi satu kilogram.
Beliau berkata, kapasiti pengeluaran minyak masak di bawah syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu ini adalah antara 100 hingga 150 tan metrik sebulan.
Bagi minyak sawit bersubsidi satu kilogram, pengeluarannya adalah 150 tan metrik sebulan manakala, 100 tan metrik sebulan bagi minyak masal botol dua kilogram dan lima kilogram.
“Harga minyak masak jenama Sayang ini adalah RM2.50 bagi minyak bersubsidi, RM13.20 bagi minyak masak botol dua kilogra dan RM31 untuk minyak masak botol lima kilogram. Ia lebih murah berbanding harga minyak sedia ada di pasaran.
“Kita harap dengan adanya tambahan pengeluaran minyak masak ini, saya harap tiada lagi isu kekurangan bekalan minyak di pasaran. Bekalan minyak masak ini akan boleh didapati di pasaran tidak lama lagi,” katanya semasa pra-pelancaran minyak masak ‘Sayang’
Menurut beliau, pengeluaran minyak masak itu dikendalikan oleh Edible Oil Sdn Bhd yang beroperasi di Kunak dan ejen-ejen pemasaran untuk mengedar dan menjual minyak masak ini akan turut dilantik.
Hajiji berkata, minyak masak itu akan diedarkan ke seluruh negeri ini terutama di kawasan pedalaman yang sering berhadapan dengan kekurangan bekalan minyak masak.
Beliau turut menasihatkan bakal-bakal ejen yang dilantik agar tidak menyeludup atau menjual minyak masak ‘Sayang’ ke negara jiran sehingga menyebabkan bekalan minyak di negeri ini tidak mencukupi.
“Keutamaan harus diberikan di Sabah, kita jaga dulu rakyat kita yang kekurangan bekalan. Saya harap jangan ada yang menyeludup atau menjual minyak ini ditempat lain. Kita tidak mahu mereka jual di sana, di sini tiada bekalan.
“Kita harap peniaga-peniaga dilantik ini lebih bertanggungjawab dalam soal seumpama ini,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, minyak masak Sayang akan diedarkan ke negeri lain sekiranya bekalan di Sabah ini lebih daripada mencukupi, ia bergantung kepada pasaran dan strategi perniagaan Sawit Kinabalu. –UTUSAN