PETALING JAYA: Masih ada beberapa Rang Undang-Undang (RUU) yang belum mendapat kelulusan Jemaah Menteri sebelum RUU tersebut boleh dibentangkan dan dibahas di Parlimen kali ini antaranya adalah RUU Sumbangan Politik 2022 dan tempoh had Perdana Menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, antara RUU yang sedia untuk bacaan kali kedua dan dibahas ialah RUU Pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan peruntukan Anti-Menghendap (Anti Stalking).
Selain itu, pindaan seperti RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Penculikan (Pindaan) 2022, RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022, RUU Senjata (Pindaan) 2022 dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022 berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori akan turut dibawa untuk bacaan pertama dan kedua pada sidang Parlimen ini.
“Walau bagaimanapun, masih ada beberapa RUU dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen kali ini tetapi belum mendapat kelulusan Jemaah Menteri sebelum RUU tersebut boleh dibentangkan dan dibahas di Parlimen antaranya adalah RUU Sumbangan Politik 2022, RUU Perkhidmatan Parlimen 2022, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022 dan Akta Insolvensi 1967.
“Selain itu, terdapat juga pindaan Perlembagaan Persekutuan yang juga dijangka akan dibawa pada sidang ini yang masih memerlukan kelulusan Jemaah Menteri seperti peruntukan yang berkaitan dengan RUU Perkhidmatan Parlimen, Larangan Ahli Dewan Negara bertukar parti, Pengehadan Tempoh Perdana Menteri dan Pindaan Berkaitan Isu Pelancongan Dalam Senarai Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, keseluruhannya, sebanyak sembilan RUU sedia untuk bacaan kali kedua di Parlimen manakala 13 RUU diluluskan jemaah menteri akan dibuat bacaan pertama meliputi pindaan Perlembagaan termasuk daripada kementerian-kementerian lain.
“Saya yakin dengan semua pindaan yang dicadangkan, kerajaan telah mencapai matlamat terhadap Transformasi Kerajaan dan Transformasi Parlimen dengan jayanya.
“Segala transformasi ini akan membawa kebaikan bersama kepada negara dan rakyat jelata pada keseluruhannya memandangkan ia merupakan satu persetujuan dwi-partisan atas inisiatif kerajaan.
“Kerajaan komited untuk memastikan segala undang-undang yang dirangka dan telah diumumkan akan dibawa dalam sidang Parlimen,” katanya. – UTUSAN