‘Riuh Benor!’ ke Ipoh, kesinambungan perkasa industri kreatif

‘Riuh Benor!’ ke Ipoh, kesinambungan usaha perkasa industri kreatif

riuh benor
SEBAHAGIAN daripada keluarga yang menyertai program Riuh! sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) antara inisiatif kerajaan untuk menyemarakkan semula Industri Jingga ketika yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Cetusan idea Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Tpr Annuar Haji Musa, KRKM mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memartabatkan industri Seni dan Budaya Kreatif dalam arus pembangunan negara. 

Usaha ini selaras rangka Agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang meletakkan kreativiti dan budaya sebagai fokus utama dalam mencapai pembangunan mampan.

KRKM yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) melalui Kumpulan MyCreative, bertujuan menghimpunkan para usahawan kreatif, penggiat seni, pengamal budaya kreatif dan usahawan tempatan yang terdiri daripada 10 cabang industri kreatif.

Ia merangkumi penciptaan kandungan (termasuk filem, kandungan penyiaran dan penstriman dan permainan video), muzik, fesyen, seni persembahan, seni visual, sastera, seni tradisional dan kebudayaan, seni kulinari, reka bentuk dan pendidikan kreatif.

Program Riuh yang sebelum ini berpusat di Lembah Klang sejak ia bermula pada 2017 pada tahun ini telah melebarkan sayapnya ke Johor, Sabah, Melaka dan Kelantan, dan kini Riuh singgah di Ipoh, Perak.

KRKM kini meneruskan jerayawaranya dengan edisi kelima ‘Riuh Benor!’ yang berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak. KRKM yang merupakan platform yang menghubungkan komuniti kreatif dan penggiat seni dengan masyarakat setempat, antara usaha untuk memperkasa industri kreatif tempatan melalui kesedaran awam dan impak sosial.

‘Riuh Benor!’ menyajikan pelbagai persembahan kebudayaan, muzik dan tarian seperti tarian rakyat Bharatanatyam, tayangan Yasmin Ahmad oleh Yasmin At Kong Heng Newseum, dan Wayang Kulit Animatronik, pameran seni, kedai pop-up, aktiviti komuniti, bengkel eko-kreatif, dan pelbagai jenis makanan dan minuman. Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan istimewa artis popular termasuk Jaclyn Victor, Tujuloca, Ning Baizura, Ruffedge, Insomniacks, Meruked dan ramai lagi. 

‘Riuh Benor!’ dijangka menarik seramai 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari acara ini berlangsung.

ANTARA pelbagai persembahan yang memeriahkan edisi Riuh! sebelum ini

Program KRKM dijangka mewujudkan sebanyak 7,000 peluang pekerjaan dan menyokong sekurang-kurangnya 5,000 penggiat dan perniagaan kreatif di 14 lokasi seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative, Junady Nawawi berkata, “Setakat ini, program Kembara Riuh Keluarga Malaysia telah berjaya mewujudkan sekitar 3,200 peluang pekerjaan dan menyokong lebih 2,000 penggiat seni dan usahawan industri kreatif. Kami berharap dapat meneruskan momentum positif ini di Ipoh.

“Lebih dari itu, adalah menjadi harapan kami agar program Kembara Riuh Keluarga Malaysia berjaya menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan daripada 10 cabang industri kreatif untuk sama-sama membangunkan ekosistem kreatif tempatan di samping memartabatkan hasil kreatif usahawan, penggiat seni serta penggiat industri.

“Kami juga berharap agar segala usaha ini menyumbang ke arah pembangunan mampan dan menjadi salah satu inisiatif bagi meningkatkan daya tarikan industri kreatif Malaysia.”

‘Industri Jingga’ telah dikenal pasti sebagai penyumbang strategik ke arah pembangunan ekonomi dan sosial yang mampan, pada masa yang sama memelihara warisan budaya dan memupuk kreativiti.

Industri Kreatif juga diberi tumpuan khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di mana ia disasarkan menyumbang RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025. Selaras itu, program KRKM antara usaha penting kerana ia menyediakan platform untuk penggiat seni kreatif dan usahawan menjana pendapatan, seterusnya menyumbang kepada ekonomi Negara.

Segala usaha ke arah pembangunan mampan, termasuk meningkatkan daya tarikan industri kreatif Malaysia telah membuka laluan ke arah kemampanan Industri Kreatif, Seni & Budaya. Ia mencerminkan usaha kerajaan untuk negara dibawa ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan.

Diharapkan program ‘Riuh Benor!’ ini dapat memperkukuh tiang seni warisan budaya kreatif sebagai batu asas keharmonian. Masyarakat di Perak dan negeri berdekatan dijemput untuk menyertai dan menyokong penggiat seni dan usahawan tempatan di ‘Riuh Benor!’.

Lawati @riuhinthecity di Instagram dan Facebook untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang gerai, bengkel dan persembahan yang akan berlangsung di ‘Riuh Benor!’. Anda juga boleh melayari www.riuh.com.my untuk mengetahui lebih lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya