Ridzuan, Azmir calon MB dari Pas jika PN tawan Perlis? - Utusan Malaysia

Ridzuan, Azmir calon MB dari Pas jika PN tawan Perlis?

MOHD. Ridzuan Hashim (kanan) dan Muhammad Azmir Azizan dikatakan bakal Menteri Besar Perlis jika Perikatan Nasional menawan Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Nama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim dan Ketua Penerangan Pas negeri, Muhammad Azmir Azizan disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar daripada parti itu jika Perikatan Nasional (PN) berjaya menawan Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam PRU15, Mohd. Ridzuan disahkan kekal dicalonkan di DUN Guar Sanji manakala Muhammad Azmir dikaitkan bertanding di DUN Santan dijangka menentang penyandang kerusi tersebut iaitu Azizan Sulaiman yang juga Setiausaha UMNO negeri.

Selain itu, penyandang kerusi DUN Sanglang yang juga Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli juga kekal mempertahan kerusi berkenaan.

Menurut sumber parti itu, selain Mohd. Shukri dan Mohd. Ridzuan yang kekal mempertahankan DUN Sanglang dan Guar Sanji, semua sembilan lagi calon yang bakal diketengahkan bertanding di DUN dan Parlimen terdiri daripada muka baharu.

Katanya, Pas akan bertanding di sembilan kerusi DUN dan dua Parlimen iaitu Arau dan Padang Besar.

“Insya-Allah nama dari Pas sebagai calon Menteri Besar jika PN menang di Perlis. Ada dua tiga nama yang bakal diketengahkan (Menteri Besar) untuk dibawa ke peringkat pusat seperti ustaz Wan (Ridzuan) dan Muhammad Azmir iaitu dua anak muda yang cukup berpontensi,” katanya.

Dalam PRU14, Mohd. Ridzuan yang juga Naib Yang Dipertua Pas kawasan Arau menewaskan calon BN dan PKR di Guar Sanji dengan majoriti 328 undi.

Mohd. Ridzuan, 36, merupakan anak muda berlatarbelakang pendidikan dan agama yang baik itu cukup disenangi dalam kalangan penduduk di Guar Sanji dan dijangka tidak berdepan masalah mengekalkan kerusi berkenaan dalam PRU15.

Beliau yang berasal dari Kampung Pida 3 Semut Gatal itu antara calon yang berpontensi besar diketengahkan oleh Pas sebagai calon Menteri Besar jika PN berjaya merampas Perlis dari BN.

Muhammad Azmir, 42, juga merupakan seorang lagi calon muda dari Pas yang cukup berpontensi diketengahkan oleh parti mengisi posisi tersebut.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Shukri berkata, PN menyasarkan menang lapan ke sembilan kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan di negeri ini.

“Kita yakin menang antaranya di kerusi Simpang Empat, Santan, Kayang, Bintong, Sena selain mengekalkan Guar Sanji dan Sanglang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya