JOHOR BAHRU: Walaupun baru berusia 19 tahun, namun seorang remaja dianggap sebagai ‘tauke’ ketum.
Namun ibarat perumpamaan, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua apabila dia diberkas kerana memiliki 201 kilogram (kg) daun ketum di kawasan Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini.
Remaja lelaki itu dicekup anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) JBS kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil serbuan telah berjaya merampas sebuah tong plastik yang mengandungi 18 bungkus plastik lutsinar berisi cecair yang disyaki air ketum seberat sembilan liter.
“Hasil soal siasat yang dibuat, pasukan polis telah membuat satu lagi serbuan di Taman Istimewa dan telah berjaya merampas tujuh bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi 201kg daun ketum.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan yang dibuat dalam serbuan ini dianggarkan berjumlah RM2,190,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Remaja itu baru berjinak-jinak menjadi tauke air ketum sejak Ogos lalu dan bahan itu diperoleh daripada pembekal di kawasan utara negara.
“Remaja lelaki ini akan memasak sendiri daun ketum itu untuk mendapatkan air ketum sebelum dijual kepada pelanggannya.
“Suspek kempunan untuk meraih untung menjual air ketum setelah bekalan daun ketum sejumlah 201kg dirampas polis,” ujarnya.
Pihak IPD JBS memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menghubungi IPD JBS menerusi talian 07-2182323.
“Suspek remaja lelaki itu akan direman untuk siasatan lanjut,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. –UTUSAN