KUALA TERENGGANU: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Razali Idris hari ini mengesahkan tidak bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada calon lain yang lebih berkelayakan untuk bertanding dalam PRU15 nanti.
Malah katanya, hasrat tersebut juga telah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Pada masa ini saya ingin memberi tumpuan terhadap tugas saya sebagai Senator yang masih berbaki lebih dua tahun lagi.
“Saya akan berkhidmat seperti biasa dan akan memberi sokongan kepada semua calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Khas PRU15 Bersatu Terengganu di sini, hari ini.
Bersatu Terengganu sebelum ini mengumumkan akan bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen Hulu Terengganu dan Parlimen Besut.
Dalam PRU14, Razali diletakkan sebagai calon Bersatu-Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Hulu Terengganu mendapat 3,364 undi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Rosol Wahid yang memperoleh 30,925 undi.
Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu berkata, walaupun tidak menjadi calon Bersatu namun beliau tetap mengetuai jentera pilihan raya Bersatu negeri dalam PRU15.
“Di Terengganu terdapat seramai 28,000 ahli Bersatu dan sebahagian besar merupakan pengundi baharu yang dapat membantu kemenangan calon PN,” ujarnya.- UTUSAN