PETALING JAYA: Biarpun tanpa kelibat R.Sivarasa yang diketepikan PKR dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) kali ini, kawasan Parlimen Sungai Buloh dikatakan masih mampu menjadi kerusi `deposit tetap’ sukar dirampas oleh lawan PKR.
Pemerhati mungkin memberi sebab kerana majoriti besar 26, 634 undi diraih PKR dalam PRU14 tempoh hari akan merencatkan saingan parti-parti lawan.
Namun dikatakan ada perkiraan lain menjadi penilaian PKR. Antaranya kerana PKR diketuai presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu memperlihatkan parti itu mempelopori perubahan dengan mengetengahkan muka-muka baharu yang profesional. Lebih utama lagi calon-calon yang diyakini bertenaga (energetic). Dari tekad itulah menyaksikan ada kalangan doktor dan jurutera menjadi calon PKR kali ini.
Di Sungai Buloh berdepan PRU-15, PKR menampilkan Timbalan Ketua Penerangan 1 parti itu, Datuk R. Ramanan, 41, sebagai calon di situ. Beliau merupakan jurutera mekanikal lulusan universiti di Australia.
Cucu kepada Tan Sri Dr. Devaki Krishnan – wanita pertama di negara ini yang dilantik dalam pejabat awam setelah memenangi kerusi majlis perbandaran pada 1952 – ini bukanlah asing dalam politik tanah air. Sebelum ini beliau menempuh `sepak terajang’ politik dari MIC selaku Bendahari Agung MIC.
“Beliau berjaya dalam bisnes berkaitan kejuruteraan yang diceburinya. Selain banyak terlibat dalam aktiviti belia khususnya pemuda, Ramanan juga seorang yang energetic dalam perjuangkan isu-isu parti.
“Jadi, Khairy Jamaluddin yang disebut-sebut ke Sungai Buloh akan berdepan calon PKR kami yang diyakini boleh `main kejar-kejar’ (menyaingi sengit) dengannya,” kata seorang anggota cabang PKR di Sungai Buloh.
Dalam pada itu, sumber dalaman Barisan Nasional (BN) meletakkan rating 50:50 dalam persaingan di Sungai Buloh antara BN-PKR jika Khairy bertanding di situ.
“Kami kena bekerja keras kerana dalam PRU15 kali ini mana-mana calon di seluruh negara memiliki peluang sama rata untuk menang berikutan pertambahan pengundi yang ketara dari hampir 15 juta orang pada 9 Mei 2018 kepada yang terkini mencapai 21.1 juta.
“Apatah lagi di Sungai Buloh dalam PRU14 hanya kira-kira 90,000 pengundi mengambil bahagian, tetapi dalam PRU15 ini menyaksikan pengundi berdaftar di Sungai Buloh sudah mencecah 154,000 orang.
“Ya, untuk Khairy kami akui cabarannya cukup sengit untuk menang di Sungai Buloh jika benar beliau ke sini. Kemenangan akan bergantung kepada kekuatan jentera pilihan raya parti masing-masing sehingga ke saat-saat kempen berakhir 11.59 malam 18 November,” katanya.
Jumlah pengundi yang keluar mengundi pada PRU14 adalah sebanyak 82.32 peratus yang mewakili seramai 12,229,514 orang daripada 14,940,624 pengundi yang berdaftar.
Sungai Buloh merupakan kerusi campuran yang disandang Sivarasa dari PKR sejak 2008.
Secara tradisi kerusi Sungai Buloh ditandingi oleh MIC namun parti itu kalah kepada PKR tiga penggal berturut-turut.
Pada PRU14 dalam persaingan di P.107 Sungai Buloh, Sivarasa meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A.Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642)
Daftar pengundi terkini setakat September lalu di kerusi Parlimen Sungai Buloh merekodkan pengundi Melayu meliputi 105,000 orang, Cina (30,000) dan India (16,000) daripada keseluruhan 155,000 pengundi.-UTUSAN