PETALING JAYA: Rakyat diminta meraikan persamaan dan mengetepikan perbezaan demi jaminan kestabilan serta kemakmuran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perpaduan Keluarga Malaysia hendaklah diperkukuh dengan merentasi bangsa, agama dan budaya yang berpaksikan kepada nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan serta kesyukuran.
Justeru bersempena sambutan Hari Deepavali, beliau berharap budaya kunjung-mengunjung dan rumah terbuka serta pesta cahaya itu dapat mengukuhkan persaudaraan dalam semangat Keluarga Malaysia.
“Memaknai semangat Keluarga Malaysia pada sambutan Deepavali tahun ini, marilah kita meraikan persamaan dan mengetepikan perbezaan demi menjamin kestabilan serta kemakmuran negara.
“Berpaksikan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran, semoga kita dapat terus mengukuhkan perpaduan Keluarga Malaysia yang merentasi bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam perutusan Hari Deepavali.
Dalam pada itu, Ismail Sabri mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Hindu, di mana jua mereka berada.
“Semoga pesta cahaya tahun ini menjadi perayaan yang bermakna buat semua, diraikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan bersama ahli keluarga, sanak saudara serta rakan taulan. Deepavali Vaalthukkal dari saya dan keluarga,” katanya. – UTUSAN