PRU15: Wetrom sah sertai KDM, tanding Parlimen Kota Marudu - Utusan Malaysia

PRU15: Wetrom sah sertai KDM, tanding Parlimen Kota Marudu

WETROM Bahanda (kiri) bersama Peter Anthony semasa sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau, Datuk Wetrom Bahanda dalam majlis solidariti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menghentikan segala spekulasi tentang hala tuju politiknya.

Selepas hampir seminggu keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wetrom muncul pada majlis itu sebagai Timbalan Presiden KDM dan diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Kota Marudu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan Presiden KDM, Datuk Peter Anthony yang menyatakan matlamat dan perjuangan Wetrom sama seperti yang ada dalam KDM jadi, pemimpin itu akan bertanding di Parlimen Kota Marudu.

Beliau berkata, Wetrom merupakan salah seorang daripada tiga Timbalan Presiden dalam KDM dan parti ini mempunyai lima Naib Presiden. Kemasukan bekas Ketua Bersatu Bahagian Kota Marudu itu mengisi kekosongan kuota muslim bagi jawatan Timbalan Presiden.

Kini, terdapat satu slot Timbalan Presiden bagi kuota Cina yang belum diisi, begitu juga dengan kuota Cina bagi jawatan Naib Presiden.

Sementara itu, Wetrom berkata, beliau akan bertanding di Kota Marudu bagi memenuhi suara rakyat di peringkat akar umbi.

“Setelah bincang dengan akar umbi dan rakyat Kota Marudu, saya dengar hasrat mereka.

“Saya rasa perjuangan KDM ini lebih serasi dengan perjuangan kita sebab itu saya telah memilih untuk bersama-sama KDM dan berjuang bersama-sama KDM demi rakyat Kota Marudu dan rakyat Sabah secara keseluruhan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, surat peletakan jawatan daripada Bersatu telah pun dihantar kepada parti pada 18 Oktober lalu.

Namun bagi jawatan pembantu menteri, beliau menyerahkan perkara itu kepada Ketua Menteri yang mempunyai kuasa prerogatif untuk menentukan tindakan terhadapnya.

“Ini adalah (kuasa) prerogatif Ketua Menteri, saya tidak boleh melebihi kuasa beliau,” katanya.

Selepas keluar daripada Bersatu, Wetrom telah menyatakan hasrat menyertai Parti Warisan (Warisan) semasa bertemu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pada Ahad.

Namun, beliau tidak meneruskan hasrat tersebut setelah Mohd. Shafie tidak memberi jaminan untuk menjadikannya sebagai calon kerusi Parlimen Kota Marudu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya