PUTRAJAYA: UMNO akan ‘membunuh diri’ dalam politik tanah air sekiranya bekerjasama dengan DAP pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd. Fazmi Sayid Mohammad berkata, ini kerana DAP tidak pernah akan disukai orang Melayu yang selama ini menjadi penyokong terbesar dalam UMNO.
Apatah lagi kata beliau, UMNO sudah memutuskan tiada kerjasama dengan parti itu termasuk PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum atau selepas PRU15 sebagaimana ditetapkan dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu.
“Jika UMNO bekerjasama membentuk kerajaan campuran dengan Pakatan Harapan (PH) yang didalamnya ada DAP, orang Melayu akan rasa dikhianati dan PRU15 mungkin menjadi kali terakhir mereka akan mengundi UMNO.
“Pada masa sama, saya juga merasakan DAP juga akan menuju kehancuran jika bekerjasama dengan UMNO kerana asas penyokongnya adalah masyarakat Cina yang benci kepada UMNO, kedua-dua akan rasa dikhianati pemimpin,” jelas beliau di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa, perbincangan sulit antara UMNO dan PKR dilakukan antara pasukan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pasukan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan itu susulan kenyataan Ahmad Zahid yang tidak akan bekerjasama dengan Pas yang disepakati menerusi Muafakat Nasional (MN) selepas PRU15.
Sebelum ini, dua pimpinan PKR, Nik Nazmi dan Nurul Izzah menafikan PKR mengadakan rundingan sulit dengan UMNO untuk membentuk kerajaan selepas PRU15. – UTUSAN