KUALA SELANGOR: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menentukan sama ada beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Kewangan itu berkata, desas-desus namanya bakal menjadi calon kerusi Parlimen Kuala Selangor hanya boleh dijawab kepemimpinan UMNO.
Kata beliau, dirinya kini hanya mahu memfokuskan untuk membantu rakyat.
“Prospek dan semua yang akan bertanding dalam pilihan raya kali ini terpulang kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.
“Sudah mula berkempen? Saya kini hanya sibuk bekerja membantu rakyat,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia (KUKKM) di Puncak Alam, di sini hari ini.
Terdahulu, karnival yang dihadiri kira-kira 10,000 pengunjung itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan nama Tengku Zafrul mungkin tersenarai dalam beberapa calon yang dicadangkan untuk bertanding di bawah Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
Jangkaan itu adalah selepas Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim mendedahkan senarai calon bagi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah diserahkan kepada pimpinan parti untuk diputuskan.
Namun, beliau enggan mendedahkan kesemua senarai yang akan bertanding bagi Parlimen Kuala Selangor dan tiga DUN iaitu Jeram, Bukit Malawati dan Ijok.
Selain itu, jika nama Tengku Zafrul tersenarai, perkara itu menandakan tamat persengketaan antara beliau dengan Jahaya yang sebelum ini dilaporkan menolak kehadiran Ahli Dewan Negara tersebut di Kuala Selangor. – UTUSAN