PRU15: 'Saya pun tunggu orang datang meminang' - Bekas KP SPRM - Utusan Malaysia

PRU15: ‘Saya pun tunggu orang datang meminang’ – Bekas KP SPRM

DZULKIFLI Ahmad menyerahkan ayam percuma kepada penduduk sekitar kawasan Parlimen Tasek Gelugor di hadapan pejabatnya di Pusat Perniagaan Pokok Sena, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad membayangkan beliau masih berminat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika ditawarkan berbuat demikian.

Bagaimanapun katanya, sama ada dipilih bertanding atau tidak untuk mana-mana kerusi, kerja-kerja kebajikan yang dimulakannya terhadap penduduk sekitar Tasek Gelugor khususnya sejak awal tahun ini akan diteruskan seperti biasa.

Ditanya sama ada terdapat mana-mana parti politik yang ‘menghampirinya’, kata Dzulkifli, beliau bersedia jika ada pihak yang datang ‘melamarnya’ sebagai calon.

“Saya pun tunggu orang (parti politik) datang ‘meminang’. Apapun, terpulang kepada kehendak rakyat. Kalau ada kemahuan, saya akan wakili mereka dan saya akan pertimbangkan.

“Untuk jawab sekarang (sama ada akan bertanding atau tidak), kita tak tahu pilihan raya bila. Ada kata minggu depan. Ada kata tahun depan. Sebab itu saya tak mahu hilang fokus dalam program untuk membantu rakyat, ia perlu berterusan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas program pengagihan ayam secara percuma di hadapan pejabatnya di kawasan Pusat Perniagaan Pokok Sena, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkifli berkata, sebanyak 3,500 ekor ayam diagihkan kepada penduduk setempat dengan sebahagian daripada mereka diberikan kupon untuk memudahkan urusan pengambilan ayam berkenaan.

Katanya, kupon itu diagihkan melalui 32 buah masjid di seluruh Tasek Gelugor manakala mereka yang tidak mempunyai kupon boleh datang terus ke lokasi pengagihan ayam.

“Penerimaan daripada penduduk setempat amat baik kerana program seperti ini dibuat secara berterusan iaitu secara bulanan. Selain itu, pejabat saya turut menyediakan sumbangan berupa bakul makanan kepada penduduk di Tasek Gelugor dan mereka yang ada masalah juga boleh datang ke sini pada bila-bila masa,” katanya.

Tambah beliau, sehingga kini lebih 1,000 bakul makanan telah diagihkan kepada mereka yang memerlukan di Tasek Gelugor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN