KOTA BHARU: Sekiranya Pakatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan di peringkat Pusat dan Kelantan, gabungan itu akan memberikan bayaran royalti penuh kepada negeri ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bayaran itu sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian asal berkait dengan bayaran royalti.
“Kita juga akan turut membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya pada Himpunan Penyatuan Ummah Sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Bagi mencapai hasrat itu, Muhyiddin menyeru seluruh rakyat Kelantan keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 19 November ini walaupun dalam keadaan hujan lebat.
Katanya, tindakan itu bagi membolehkan PN meraih kemenangan lebih besar untuk membentuk kerajaan lebih kukuh selepas PRU15 nanti walaupun memerlukan 112 kerusi mentadbir negara menerusi majoriti mudah.
“Berdoalah supaya PN memperoleh kemenangan besar. Jika PN menang dan membentuk kerajaan, mesyuarat jemaah menteri pertama kita akan menguruskan masalah rakyat terlebih dahulu.
“Bukannya membebaskan diri daripada kes mahkamah,” katanya. – UTUSAN