KEMAMAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan rakyat bakal menjadi penentu sama ada Bajet 2023 yang menawarkan pelbagai inisiatif dan bantuan dapat diluluskan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pada masa ini, Bajet 2023 yang dibentang pada awal bulan ini masih belum diluluskan dan tidak dapat dibelanjakan sehingga diluluskan oleh kerajaan baharu selepas ini.
Menurutnya, Bajet 2023 hanya boleh diluluskan sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat sepenuhnya menubuhkan kerajaan sekali gus membolehkan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.
“Jadi kuasa untuk menggunakan (meluluskan) bajet tersebut adalah di tangan tuan-tuan dan puan-puan.
“Pilihan (PRU15) pada 19 November nanti akan menentukan bajet itu akan dibentangkan semula dan diluluskan untuk kepentingan tuan-tuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Bandar Seri Bandi di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Ketengah, Datuk Seri Ahmad Said.
Ismail Sabri berkata, beliau mengharapkan kerajaan yang dibentuk oleh BN selepas PRU15 lebih stabil berbanding kerajaan campuran selepas PRU14 sebelum ini.
Tambahnya, BN memberi jaminan segala pembangunan yang diumumkan dalam bajet tersebut juga akan dilaksanakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat.
“Kalau parti kita (BN) menjadi parti dominan dalam kerajaan yang baharu, insya-Allah kita mampu mewujudkan kerajaan yang stabil dan saya yakin ekonomi kita akan bertambah baik.
“Saya dah pulangkan mandat kerajaan yang ada hari ini kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk menentukan,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, bajet baharu yang mungkin dibentang oleh kerajaan baharu bukan BN selepas ini mungkin tidak memberi banyak faedah kepada rakyat. – UTUSAN