KANGAR: Perikatan Nasional (PN) akan memastikan zaman kegemilangan bola sepak negeri ini dikembalikan jika gabungan tersebut diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi PN negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, salah satu janji dalam manisfesto gabungan tersebut adalah mengembalikan kegemilangan Singa Utara dan memartabatkan sukan nombor satu itu.
Kata Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) negeri itu, rakyat Perlis sangat merindui kebangkitan bola sepak di negeri ini.
“Kita angkat balik martabat sukan bola sepak. Orang Perlis ini sangat minat dengan sukan bola sepak. Dengan ada kebangkitan ini, barulah sukan bola sepak akan dijulang balik. Perlis pasukan yang cukup digeruni satu ketika dahulu dengan pernah menjuarai dua kali Piala Malaysia selain Liga Super.
“Kalau PN dengan izin Allah SWT dapat tawan Perlis, kita akan kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Jentera Pemuda PN negeri di Denai Larian Pengkalan Asam di sini hari ini.
Tambah Abu Bakar, jika PN mentadbir negeri, hasil daripada pembangunan itu akan turut disalurkan untuk sukan bola sepak.
“Selain pada sukan, kita juga mahu memastikan pelabur-pelabur datang ke Perlis dengan suasana yang harmoni. Apabila pelabur datang ke Perlis akan membantu meningkat ekonomi negeri.
“Selain daripada itu, kita nak selesaikan masalah projek-projek terbengkalai dalam pentadbiran dulu. Kita pastikan Perlis maju, Perlis baharu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abu Bakar memberitahu, senarai calon PN bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diumumkan pada 2 November ini.
Katanya, di peringkat Parlimen akan diumumkan oleh kepemimpinan pusat di Kuala Lumpur.
“Bersatu akan bertanding enam kerusi DUN manakala Pas pula sembilan kerusi. Parlimen, Bersatu bertanding satu kerusi (Kangar) dan Pas dua iaitu Arau dan Padang Besar,” katanya. – UTUSAN