KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan senarai nama calon yang akan bertanding di kesemua 14 kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 3 November ini.
Pengarah Pilihan Raya PN negeri, Zulkifli Mamat berkata, serentak dengan itu pelancaran jentera pilihan raya dilakukan bagi memastikan gerak kerja PRU15 berjalan lancar.
“Untuk pilihan raya kali ini, PN menyediakan sebanyak 544 bilik gerakan di Unit Daerah Mengundi (UDM) seluruh negeri ini dengan kekuatan seramai 27,200 jentera pilihanraya.
“Jentera pilihan raya ini akan diselaraskan bagi setiap bilik gerakan. Secara ringkasnya seramai 50 orang jentera bagi setiap UDM dan itu merupakan jumlah minimum,” katanyadalam sidang media bersempena pelancaran Bilik Media PN di tingkat dua Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Condong itu berkata, Pas kekal menggunakan pendekatan bersemuka untuk mendekati pengundi-pengundi di negeri ini walaupun mempunyai kemudahan melalui media sosial pada masa kini.
Katanya, pendekatan secara bersemuka ini lebih mendekatkan parti dengan rakyat selain mendapat maklum balas secara langsung daripada pengundi-pengundi di negeri ini.
“Pendekatan ini juga kita gunakan untuk mendekati pengundi 18 tahun yang merupakan kumpulan baharu. Kita akan sentiasa mendekati rakyat dan meminta pandangan daripada mereka untuk dilaksanakan di semua peringkat sama ada dalam gerak kerja parti atau kerajaan,” ujarnya. – UTUSAN