PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dijangka akan melakukan rundingan kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) esok.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau sudah berjumpa dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi berbincang mengenai rundingan bersama Muda.
“Kita telah buat keputusan semalam, saya jumpa dengan Anwar (Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Mat Sabu (Presiden Amanah, Mohamad Sabu).
“Kita telah ada kerangka (pakatan pilihan raya) dan arahan telah diberi kepada Jawatankuasa Perundingan, mesti berjumpa pihak Muda Ahad (esok),” katanya di dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, PH menjalinkan kerjasama bersama Muda bagi menghadapi PRU15 pada 19 November ini.
Walau bagaimanapun, rundingan kerusi antara PH dan Muda dilihat tidak menemui perkembangan apabila Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz mendedahkan bahawa masih tiada rundingan kerusi secara rasmi bersama mereka.
Anthony Loke berkata, walaupun perundingan antara PH dan Muda kelihatan bergerak perlahan tetapi bagaimanapun kerjasama antara mereka tetap mampu direalisasikan sebelum berhadapan PRU15. – UTUSAN