SUNGAI PETANI: Pengundi diharap berlaku adil untuk memberi kemenangan kepada calon yang banyak membawa pembaharuan dan pembangunan termasuk di Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, pengundi sepatutnya bijak menilai pemimpin yang mampu bekerja membawa pembangunan di daerah itu berbanding hanya pandai berpolitik untuk kepentingan sendiri.
“Parlimen Sungai Petani telah tiga penggal di bawah PKR dan selama ini apa yang boleh dibanggakan kerana tiada pembangunan dilaksanakan untuk meningkat ekonomi penduduk.
“Jika kita masih tidak faham makna berlaku adil kali ini, maka penduduk tidak dapat mengecapi tahap pembangunan mampan untuk tempoh lima tahun lagi,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Tampar Terbuka Kedah Bawah 20 tahun anjuran Persatuan Bola Tampar Amatur Kedah, hari ini.
Tambah Shahanim, pengundi juga diminta tidak mudah termakan hasutan pembangkang berkaitan dakwaan pemimpin UMNO rasuah, salah guna kuasa dan tidak amanah.
“Masih ramai pemimpin UMNO berjiwa besar dan berhati mulia untuk berkhidmat menjaga kebajikan rakyat di kawasan mereka apabila tidak putus-putus menyalur pelbagai bantuan tanpa memilih bulu.
“Jika pengundi memberi peluang kepada BN pada PRU15 ini akan lebih banyak manfaat yang boleh diperolehi mereka,” katanya.
Katanya, walaupun hanya berperanan sebagai Ketua UMNO bahagian selama ini, beberapa projek mega telah berjaya dibawa untuk dilaksanakan di daerah itu demi kepentingan rakyat.
“Antaranya pembinaan jalan raya berharga RM260 juta membabitkan Jalan Batu Lintang ke Pantai Merdeka, membaik pulih 42 jalan kampung dan 125 buah rumah telah siap dibaiki.
“Jika pengundi memberi kepercayaan kepada BN, saya yakin kita boleh laksanakan pelbagai pembangunan baharu antaranya pembinaan institut pengajian tinggi awam dan Pusat Pembangunan Kemahiran untuk belia dalam usaha merancakkan ekonomi setempat,” katanya. – UTUSAN