PUTRAJAYA: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob merayu pengundi Kelantan di perantauan supaya pulang mengundi pada PRU15, 19 November ini.
Menurutnya, hari mengundi umpama ‘hari raya’ dan sudah menjadi tanggungjawab bagi setiap anak Kelantan untuk menunaikan kewajipan sebagai pengundi.
“Tanggungjawab (mengundi) ini lima tahun sekali sahaja. Kita baliklah, kalau hari raya dua tahun sekali pun kita boleh balik. Ini (PRU15) perayaan lima tahun sekali.
“Justeru, kepada anak muda Kelantan baliklah mengundi supaya tanggungjawab kita dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Malam Selebriti dan Anak Seni bersama pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan, di sini, malam tadi.
Difahamkan lebih 200,000 rakyat Kelantan yang layak mengundi pada PRU15 menetap dan bekerja di luar negeri itu.
Terdahulu, lebih 130 selebriti dan anak seni dari Kelantan diraikan pada majlis tersebut.
Pada majlis sama, Kerajaan Negeri Kelantan turut menyampaikan sumbangan masing-masing RM15,000 kepada Persatuan Seniman Malaysia dan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia.
Selain itu, anak kepada penulis lirik terkemuka, Allahyarham Bob Lokman, Ahmad Rayyan mewakili keluarga turut menerima sumbangan RM5,000 pada majlis sama.
Majlis berkenaan dianjurkan bertujuan menyantuni selebriti dan anak seni asal dari Kelantan selain berkongsi pandangan mengenai masa depan seni dan budaya di negeri itu. – UTUSAN