BERA: Pembentukan kerajaan Pusat dan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu seiring bagi memastikan segala pembangunan untuk rakyat dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Perdana Menteri, jika seiring ia akan memudahkan pelaksanaan segala projek dirancang dengan sokongan kerajaan Pusat.
Beliau berkata, program perumahan rakyat (PPR) Bera ini merupakan manifestasi kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang terjalin sejak sekian lama.
“Itulah beza kalau kerajaan Pusat sama dengan kerajaaan negeri, kalau berbeza parti sukar untuk kita melaksanakan projek untuk rakyat seperti di Bera ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah PPR Bera di Rejimen Ke-34 Artileri Diraja, Kem Bera, di sini hari ini.
Pembangunan PPR Bera dengan peruntukan sebanyak RM234 juta melibatkan pembinaan 1,000 unit rumah di kawasan tanah seluas 36 hektar di Bandar 34 di sini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan menyedari Keluarga Malaysia berhak memiliki rumah kediaman sebagai keperluan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Justeru beliau berkata, kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.
“Sebagai contoh dalam Bajet 2022, peruntukan sebanyak RM815.4 juta disediakan untuk program-program perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni.
“Agenda berkenaan bukan sahaja sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) 2030 tetapi juga bertepatan dengan matlamat Keluarga Malaysia yang memastikan tiada siapa yang terpinggir daripada kemajuan negara,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan 7 Oktober lalu berjumlah RM372.3 bilion, yang merupakan bajet terbesar dalam sejarah negara menyaksikan kerajaan menyediakan Skim Perumahan yang ditawarkan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Katanya, ia merangkumi PPR yang memberikan manfaat kepada 12,400 penghuni baharu dengan peruntukan berjumlah RM367 juta.
Selain itu katanya, kerajaan juga merancang Program Rumah Mesra Rakyat melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta.
“Ketiga adalah Program Penyelenggaraan Perumahan dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia bagi memastikan keadaan perumahan strata kos rendah dan sederhana yang selamat termasuk menggantikan lif-lif rosak dengan peruntukan RM90.4 juta.
“Dan keempat ialah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang mana kerajaan menyediakan jaminan sehingga RM3 bilion kepada bank bagi memberi akses pembiayaan kepada golongan yang tiada berpendapatan tetap seperti pekerja e-hailing untuk memiliki rumah,” katanya.
Ujarnya, bagi meringankan beban pembeli rumah kali pertama, kerajaan turut bermurah hati melaksanakan pengecualian duti setem 100 peratus yang diumumkan sebelum ini bagi memorandum pemindahan membabitkan kediaman berharga RM500,000 dan ke bawah sehingga akhir 2025. – UTUSAN