IPOH: Pas akan bertanding di 20 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di kawasan majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, 20 lagi kerusi DUN yang juga di kawasan majoriti pengundi Melayu akan ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala baki 19 kerusi lagi akan dirunding bersama parti lain.
“Di Perak, kerusi majoriti pengundi Melayu ada 40 dan kita sudah bahagikan antara Pas dan Bersatu. Sebanyak 19 lagi kerusi merupakan di kawasan majoriti pengundi bukan Melayu.
“Bagi kerusi ini, kita minta ahli bersekutu Bersatu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) daripada bukan Melayu duduk dan berunding.
“Bagaimanapun, Pas Perak tertakluk kepada keputusan pusat. Sekiranya ada keputusan pusat yang berlainan dengan apa yang kita tetapkan, kita kena akur,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Dana PRU15 Pas Perak yang turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di sini semalam.
Menurut beliau, Pas Perak juga telah membuat keputusan sebelum ini untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.
Katanya, perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Negeri Perak ini kita telah putuskan bahawa kita buat persediaan bersama dengan PN hampir 100 peratus. Kalau esok PRU15, kita sudah boleh jalan (bersedia),” katanya.
Pada PRU14, Pas Perak bertanding di 43 DUN dan tiga kerusi berjaya dimenangi parti itu membabitkan DUN Gunung Semanggol, Selama dan Kubu Gajah. – UTUSAN