MARANG : Pas bertanding lebih 60 kerusi Parlimen di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jumlah kerusi yang ditandingi Pas itu diputuskan jawatankuasa perundingan kerusi Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur semalam.
Bagaimanapun, katanya, angka sebenar pembahagian kerusi tersebut belum dimuktamadkan kerana masih dalam proses rundingan.
“Insya-Allah sudah dapat bertanding lebih 60 kerusi (Parlimen).(Bagaimanapun) masih lagi dalam perbincangan,” katanya ketika berucap melancarkan Markas Besar P037 Marang di Dewan Tok Guru, Rusila, di sini, malam tadi.
Sabtu lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN meletakkan calon di semua 222 kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk 27 kerusi yang dianggap kritikal pada PRU-15.
Gabungan PN melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).
Abdul Hadi yang juga Timbalan PN berkata, salah seorang pemimpin Pas yang yang menjadi anggota dalam rundingan tersebut ialah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Saya sentiasa berhubung siang dan malam dengan mereka (untuk mendapatkan maklumat pembahagian kerusi),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, setiap bakal calon Pas yang dicadangkan di peringkat cawangan akan disaring oleh Majlis Syura Ulama bagi memastikan mereka benar-benar layak bertanding.
“Nama-nama mereka (bakal calon) dibawa (diserahkan) ke Majlis Syura Ulama, dipanggil pesuruhjaya (Pas) negeri (untuk) hadir sama.
“(Selepas itu) disebut (dipilih) satu-satu nama ini, bagaimana perangainya, sembahyang atau tidak, (dan) akhlaknya. Setiap orang calon diluluskan oleh Majlis Syura Ulama,” katanya. – UTUSAN