PETALING JAYA: Bekas pemimpin Parti Progresif Rakyat Malaysia (myPPP), Datuk A. Chandrakumanan tampil memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada PRU15.
Beliau yang kini bersama Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) menjelaskan, faktor utama yang mendorong beliau menyokong PN adalah kepercayaan bahawa tidak ada gabungan politik selain PN yang mempunyai misi dan visi untuk membantu masyarakat India di negara.
“Peranan Bersatu dalam PN adalah seperti UMNO dalam BN, namun keistimewaan Bersatu adalah mereka tidak ada kluster mahkamah dalam kalangan mereka dan juga kerana Bersatu telah mewujudkan sayap baharu demi ahli bersekutu daripada golongan bukan Melayu dan bukan Bumiputera agar suara mereka yang daripada mereka yang bukan Melayu Islam turut dapat menyumbang idea.
“Tidak ada satu pun parti lain di Malaysia selain Bersatu yang memberi keistimewaan ini kepada mereka yang bukan Melayu. Justeru, itu saya menyeru semua bekas ahli myPPP, rakan seperjuangan saya dan parti Mira untuk memberikan sokongan padu kepada PN kali ini,” katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, rakyat sudah memberikan peluang kepada BN selama 66 tahun dan kepada PH selama 22 bulan.
“Kedua-dua mereka telah memberikan kita keputusan yang mengecewakan. Kali ini, dengan PN, saya yakin dan pasti kegagalan demi kegagalan yang dialami oleh masyarakat India akan berhenti dan masa depan yang cerah menanti masyarakat India di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin dan PN.
“Undi PN. Demi masa depan yang lebih cerah,” katanya. – UTUSAN