PRU15: Parti KDM gerak solo, sedia bertembung GRS - Utusan Malaysia

PRU15: Parti KDM gerak solo, sedia bertembung GRS

PETER Anthony (tengah) memperkenalkan calon parti KDM, Winston Liaw (tiga kanan) dan Wetrom Bahanda (tiga kiri) semasa majlis solidariti KDM di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) akan bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November ini.

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony berkata, walaupun di peringkat negeri parti itu mesra kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun kali ini merupakan pilihan raya di peringkat Parlimen maka, mereka akan meletakkan calon.

“Di peringkat negeri kita memang menyokong kepimpinan Ketua Menteri tapi, pilihan raya kali ini untuk menentukan Kerajaan Persekutuan jadi, di peringkat parti kita membuat ketetapan untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen di Sabah.

“Oleh kerana tidak ada hitam putih daripada pihak GRS maka, kita akan bergerak solo pada PRU15 ini.

“Malah, kita akan bertanding menggunakan lambang bunga rafflesia (pakma) iaitu logo parti. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan kita bertanding menggunakan logo rafflesia,” katanya semasa majlis solidariti parti KDM semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, setakat ini GRS masih belum meluluskan permohonan KDM untuk menyertai gabungan berkenaan.

Semalam, secara rasminya Peter mengumumkan parti KDM akan bertanding di  kerusi Parlimen Kota Kinabalu dan Kota Marudu. Namun, beliau turut memberi bayangan untuk bertanding di Parlimen Papar dan Tenom.

Dua Timbalan Presiden KDM iaitu Datuk Winston Liaw Kit Siong dan Datuk Wetrom Bahanda, yang juga ADUN Bandau masing-masing diumumkan sebagai calon Parlimen Kota Kinabalu dan Kota Marudu.

Mengulas lanjut katanya, calon keseluruhan akan diumumkan dalam masa terdekat, mungkin minggu depan atau sebelum 5 November.

Menurut Peter, beliau belum memutuskan berapa calon KDM akan bertanding kerana ramai yang mahu bertanding di bawah tiket KDM kerana parti itu berbilang kaum dan masih baharu maka, ramai yang mahu bertanding di bawah KDM.

Walau bagaimanapun, jika mereka rasa tempat itu stabil dan calon mempunyai kemampuan untuk bertanding di kerusi tersebut maka, KDM sedia bertanding.

Beliau berkata, KDM akan menampilkan gabungan muka baharu dan lama termasuk calon muda tapi, yang pasti lebih separuh adalah muka baharu.

Ditanya jika beliau ingin bertanding kerusi Parlimen Tenom, Peter berkata, ia belum diputuskan namun, jika ada rezeki mereka akan lawan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya