PUTRAJAYA: “Tunggu senarai penuh calon Perikatan Nasional (PN) yang akan diumumkan pada 2 November ini,” itu jelas Datuk Ahmad Yakob.
Timbalan Mursyidul Am Pas itu berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung kedudukan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam senarai calon Pas bagi Parlimen di Kelantan.
Ia susulan khabar angin mengaitkan bekas Ahli Parlimen Bachok itu dikatakan tidak tersenarai sebagai calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Ahmad ketika ditemui pemberita malam tadi bagaimanapun enggan menjawab dan mengesahkan kesahihan khabar angin itu.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, keputusan muktamad belum dibuat dan apa-apa sahaja boleh berlaku sebelum pengumuman nama calon pada Ahad ini.
“Itu kita tunggulah, masa masih ada lagi. Belum sampai masa lagi, isytiharnya (senarai penuh calon) pada 2 November ini.
“Kita nak nyatakan (sahkan khabar angin) tak boleh. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskannya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Malam Selebriti dan Anak Seni Bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di sini, malam tadi.
Katanya, beliau juga mengesahkan bahawa senarai nama calon Pas sudah ada, namun ia belum boleh diumumkan secara rasmi.
Pada PRU14 lalu, Nik Mohamad Abduh yang juga ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memenangi kerusi Parlimen Bachok dengan majoriti 3,292 undi menewaskan Datuk Seri Awang Adek Hussin (Barisan Nasional) dan Zulkifli Zakaria (Pakatan Harapan).
Nik Mohamad Abduh sebelum ini lantang mempersoalkan pengguguran Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat kerana ia dilihat memberi persepsi tidak baik kepada parti.
Selain itu, Nik Mohamad Abduh juga antara figura Pas yang paling menonjol terutama dalam soal memperkukuh dan mempertahankan kerjasama Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN). – UTUSAN