JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) diminta melanjutkan tempoh pendaftaran undi pos Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan rakyat yang berada di luar negara dapat menunaikan tanggungjawab mereka.
Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisyah Abd. Aziz berkata, perkara itu harus dipertimbangkan kerana terdapat kesulitan membabitkan masalah teknikal yang menyukarkan pengundi luar negara mendaftar menerusi sistem yang disediakan.
“Kami telah terima beberapa aduan daripada rakyat Malaysia yang menetap di luar negara bahawa mereka menghadapi masalah untuk membuat pendaftaran undi pos bagi PRU15.
“Ada antara mereka sudah cuba berkali-kali untuk buat pendaftaran tapi masih tidak lepas dalam sistem. Ada juga yang menerima mesej mengatakan permohonan mereka ditolak sedangkan mereka menepati syarat untuk mengundi melalui pos,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Khamis lalu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memberitahu, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara dibuka bermula 10 Oktober untuk PRU15 dan bermula 13 Oktober bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.
Jelas Abdul Ghani, permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan Kategori 1C agensi/organisasi) dilaksanakan secara dalam talian.
Sementara itu, Amira Aisya yang juga Pengarah Pilihan Raya Muda memberitahu, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana semua rakyat Malaysia perlu diberi hak sama rata untuk mengundi selagi mereka layak.
“Tidak adil sekiranya ada yang tak dapat mengundi kerana kesilapan teknikal sistem SPR,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa. – UTUSAN