AMPANG: PKR berkemungkinan mempertaruhkan sebanyak 75 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan 72 calon selesai diumumkan malam tadi.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, tiga lagi kerusi kuota PKR dijangka diisi Parti Ikatan Muda Demokratik Malaysia (Muda) atau Parti Sosialis Malaysia (PSM) sebagai rakan kerjasama mewakili Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, tiga kerusi berkenaan membabitkan kawasan Sungai Siput, Tapah dan Sembrong.
“(3 kerusi) ini telah dirundingkan dan diperuntukkan kepada PKR, tetapi ditandakan sama ada (ditandingi) Muda atau PSM. Kami masih meneruskan rundingan yang mungkin akan dimuktamadkan dalam satu atau dua hari lagi
“PSM dan Muda ditandakan kerusi yang berbeza untuk kuota parti yang berbeza, tetapi untuk PKR hanya tiga kerusi. Jadi, itu sebab kita tak boleh umum hari ini kerana menunggu keputusan rundingan untuk pakatan pilihan raya (Muda, PSM).
“(Calon) di Sabah pula akan diumumkan berkemungkinan pada 31 Oktober dan 1 November untuk Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Terdahulu, PKR menamakan 72 calon parti itu yang akan bertanding atas tiket PH pada PRU-15 dalam satu majlis di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini.
Calon yang terpilih dalam masa sama diminta menandatangani borang Aku Janji yang difahamkan melibatkan persetujuan pemulangan wang deposit pencalonan, potong elaun jika menang jadi wakil rakyat dan setuju isytihar harta. – UTUSAN