KUALA SELANGOR: Mohamad Sabu tidak menolak kemungkinan bakal mempertahan kerusi Parlimen Kota Raja dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, beliau sememangnya akan kekal bertanding bersama blok Pakatan Harapan (PH).
“Namun, saya setakat ini belum menentukan lagi bertanding di kerusi mana. Jangkaan saya sebolehnya di tempat lama (Kota Raja) dan pengumumannya akan dibuat secara rasmi pada Ahad ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Jelajah Mega Harapan dan Pelancaran Jentera PRU15 PH Selangor di Padang Dewan Kampung Assam Jawa di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan program itu.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Amanah dijangka mempertaruh enam kerusi Parlimen di Selangor.
“Perkara itu belum muktamad dan akan diputuskan ketika pengumuman calon di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur nanti. Beberapa perkara perlu disemak terlebih dulu seperti status kebankrapan dan faktor lain,” jelasnya.
Mengulas mengenai Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang mahu mempertahan kerusi Parlimen Kuala Selangor, kata beliau, keputusan itu bergantung kepada siapa calon Barisan Nasional (BN).
“Jika BN meletakkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan), kita semestinya mempertaruh Dzulkefly. Namun, jika ia bukan, kita akan meletakkan calon lain yang setaraf dengan lawan,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mohamad Sabu memenangi Parlimen Kota Raja dengan majoriti 71,142 undi. Beliau yang memperoleh 90,697 undi menewaskan calon Pas, Mohamed Diah Harun (19,555) dan calon BN, V. Gunalan (17,874). – UTUSAN