PRU15: Masalah kesihatan, faktor umur bukan halangan Hadi bertanding - Utusan Malaysia

PRU15: Masalah kesihatan, faktor umur bukan halangan Hadi bertanding

Hadi
ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Masalah Kesihatan dan faktor umur bukanlah halangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertanding mempertahan kemenangannya di Parlimen Marang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Anak sulungnya, Dr. Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, bapanya itu adalah seorang individu yang kuat semangat untuk memberi khidmat kepada rakyat, ummah dan Islam.

“Soal kesihatan tu, sesiapa sahaja akan berdepan masalah kesihatan dan kalau faktor umur pula, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dah lebih 90 tahun pun pernah jadi Perdana Menteri untuk kali kedua.

“Jadi, saya rasa tiada masalah, malah ia telah disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sekali gus menamatkan teka-teki mengenai kerusi Parlimen Marang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Majlis Idul Ilmi konvokesyen kali ke-14 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.

Pada PRU14, Abdul Hadi menang selepas mendapat 53,749 undi menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot yang memperoleh 31,795 undi dengan majoriti undi sebanyak 21,954.

Calon PH daripada Parti Keadilan Rakyat, Zawawi Sulong pula hilang deposit dalam pertandingan tiga penjuru itu.

Sebelum ini, banyak pihak membuat spekulasi Abdul Hadi tidak lagi akan menjadi wakil rakyat berdasarkan faktor umur dan kesihatannya yang sering terjejas sejak akhir-akhir ini.

Ditanya sama ada namanya akan tersenarai sebagai calon Parlimen pada PRU15 ini pula, Muhammad Khalil berkata, semuanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon-calon Pas pada 3 November.

“Bagi ahli Pas, tidak dicalonkan itu lebih baik sebenarnya kerana sumbangan kepada parti dan masyarakat boleh dilakukan dalam pelbagai cara.

“Tidak semestinya hanya setelah bergelar wakil rakyat, baru boleh menabur bakti kepada masyarakat dan ummah, kita boleh menyumbang dalam ruang lingkup yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya