SEREMBAN: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau hampir pasti dihantar bertanding di kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi parti pembangkang.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, dalam perbincangan dengan pucuk kepemimpinan UMNO, beliau juga hampir pasti tidak diberikan kerusi yang dianggap selamat.
“Saya terima cabaran bertanding di kerusi yang berkenaan demi parti bagi menggalas tanggungjawab untuk pergi bersaing di kawasan yang kalah. Kita semua kena memainkan peranan untuk parti. Kalau semua pergi ke kawasan selamat, kita tidak akan membawa agenda parti secara meluas.
“Kena ada yang sanggup bertanding di kawasan yang sebelum ini mungkin tidak pernah menang,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban, di sini hari ini.
Ditanya sama kerusi tersebut merupakan kerusi di dalam Negeri Sembilan, Khairy bagaimanapun enggan mengesahkannya.
Beliau berkata, belum ada keputusan muktamad dibuat pucuk pimpinan yang masih melakukan penilaian lebih terperinci.
“Susah nak kata. bukan satu (kerusi sahaja) tetapi dua atau tiga kawasan yang sedang dipertimbang. Saya serahkan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan,” katanyai.
Khairy yang lebih mesra dikenali sebagai KJ sebelum ini pernah dilaporkan terbuka bertanding di mana-mana kerusi Parlimen sama ada di Negeri Sembilan mahupun Lembah Klang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia selepas beliau memberikan laluan kepada Timbalan Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan yang telah dirinya memberikan khidmat selama tiga penggal.
Sebelum ini beberapa kerusi Parlimen di Negeri Sembilan disebut-sebut ditandingi Khairy antaranya Parlimen Tampin, Kuala Pilah dan Port Dickson. Barisan Nasional (BN) tewas di ketiga-tiga kerusi tersebut pada pilihan raya umum yang lalu.
Di Parlimen Port Dickson yang dahulunya pernah dikenali sebagai Telok Kemang sudah beberapa kali dimenangi oleh calon pembangkang. Ia sebelum ini diduduki oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang semalam memutuskan bertanding pula di Parlimen Tambun di Perak pada PRU15. 19 November ini.
Antara yang disebut-sebut bakal menggantikan dirinya sebagai calon mewakili PH di kerusi itu ialah Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Ketua Cabang PKR Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun. – UTUSAN