PRU15: Guna logo Gerakan di Pulau Pinang diputuskan Sabtu ini

PRU15: Guna logo Gerakan di Pulau Pinang diputuskan Sabtu ini

OH TONG KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Cadangan Parti Gerakan Pulau Pinang untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri itu akan diputuskan Sabtu ini oleh Jawatankuasa Kerja Perikatan Nasional (PN).

Pergerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, cadangan itu merupakan suara akar umbi yang mahukan Gerakan menggunakan logo sendiri pada PRU-15 memandangkan logo Gerakan lebih dikenali pengundi parti itu.

“Satu mesyuarat akan diadakan oleh Jawatankuasa Kerja PN Sabtu ini berkaitan dengan isu-isu pilihan raya termasuk soal calon dan cadangan pengunaan logo parti Gerakan di Pulau Pinang.

“Ahli-ahli berpendapat pengundi parti Gerakan lebih mengenali logo parti dan tidak akan keliru ketika proses pengundian nanti,” katanya ketika ditemui di Pasar Bayan Baru, di sini hari ini.

Pada September lalu, Parti Gerakan Pulau Pinang mencadangkan supaya logo parti itu digunakan untuk bertanding pada PRU-15 di Pulau Pinang meskipun parti itu di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurut Tong Keong, Gerakan yang ditubuhkan di Pulau Pinang mempunyai rekod pentadbiran yang cemerlang selama 39 tahun dan pengundi lebih mengenali logo parti itu.

“Kami berharap Jawatankuasa Kerja PN Pusat akan menilai dengan sewajarnya perkara ini dan memutuskan yang terbaik demi parti,” katanya.

Dalam pada itu, Tong Keong yang juga Timbalan Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, calon-calon yang akan bertanding mewakili Gerakan di peringkat Parlimen di negeri itu akan melalui tapisan ketat dan perlu melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak polis dan sebagainya bagi memastikan hanya yang terbaik dipilih sebagai calon PRU-15.

“Senarai nama-nama calon akan diputuskan Sabtu ini juga, dan selepas tapisan peringkat parti nama mereka akan disaring oleh SPRM dan polis.

“Proses tapisan dan saringan ini telah lama kita lakukan bagi memastikan calon-calon kita bebas daripada anasir tidak baik,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, Gerakan Pulau Pinang mungkin bertanding di lebih empat kerusi Parlimen dan lebih 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 sekiranya Pulau Pinang membubarkan DUN.

“Kita akan adakan mesyuarat bersama parti-parti komponen PN negeri esok dan kata putus mengenai berapa kerusi yang akan kita tanding, semuanya akan diselesaikan esok bagi peringkat negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya